Berkongsi walaupun sedikit.               cikgujalil

Azam tahun baru

by jalilz on Dec.23, 2009, under Uncategorized

azhar

Selamat menyambut Maal Hijrah @ 1 Muharam 1431 kepada semua yang sudi membaca blog ini. Setiap kali bila kita menyambut tahun baru hijrah/masehi kita akan ditanya, apakah azam tahun  baru anda. Pelbagai jawapan akan diberi, samaada sebagai seorang pelajar, pekerja, majikan, pengurus dan lain-lain. Perubahan tahun juga menandakan seseorang itu semakin meningkat umurnya dan bertambah kematangannya. Peningkatan usia juga menandakan semakin dekat seseorang itu kepada kematian. Sesungguhnya kematian itu satu kepastian.
Menurut seorang mualim, azam yang patut dibuat oleh seorang muslim yang sejati adalah adalah bercita-cita untuk MATI dalam keadaan Islam. Penghujung atau penghabisan hayat yang diiringi dengan keimanan dan tauhid kepada Allah aswj adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua insan yang beriman. Tiada apa yang lebih bermakna kepada seseorang yang bakal menempuhi saat-saat getir ketika sakaratul maut dan bekalan hari akhirat kecuali bekalan keimanan. Malang sungguh jika ketika hidup kita merupakan seorang yang kuat amalannya, tinggi keimanannya, tetapi diakhiri dengan kefasikan.
Satu lagi azam yang patut dibuat adalah bercita-cita untuk mengubah diri daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik, daripada kurang pemurah kepada yang lebih pemurah, daripada yang kurang berakhlak kepada yang lebih berakhlak dll.
Selamat menyambut Maal Hijrah dan Tahun Baru, agar kita semua menjadi insan yang bertakwa, amin.
1 Comment more...

Talian kasih

by jalilz on Dec.17, 2009, under Uncategorized

ayah

Hari ini saya berkesempatan untuk menghubungkan talian kasih diantara 2 insan yang kedua-duanya yang sudah berumur dan dalam keadaan uzur. Ayahanda yang berumur 75 tahun (  sudah uzur ) ingin sangat berjumpa dengan adiknya yang berumur 73 tahun  yang sedang terlantar sakit dirumahnya. Difahamkan makcik saya ini mengidap penyakit ‘Sindrom Parkinson’ dan pemikiran yang bercelaru.
Ayah meminta saya membawanya ke KL ( rumah makcik ) kerana beliau tidak lagi mampu memandu kereta dalam jarak yang jauh.
Usaha yang kecil ini merupakan suatu hadiah yang besar kepada yang memerlukannya. Begitu juga dalam kehidupan kita seharian, perkara yang kita anggap kecil dan remeh mungkin menjadi suatu yang besar kepada orang lain. Jadi jangan lah kita segan dan malu untuk menyumbang sesuatu kepada orang lain kerana kita beranggapan ia suatu yang kecil @ murah, mana tahu ia mungkin dapat menyelamat nyawa atau akidah sekali pun. Wallahualam.
1 Comment more...

Daurah Ilmiah, Khatam Kitab Turath Melayu

by jalilz on Dec.17, 2009, under Uncategorized

kitab

Alhamdulillah, cuti sekolah yang panjang ini saya berkesempatan untuk menghadiri ‘Daurah Ilmiah’ anjuran masjid Bertam Indah. Kuliah selama 3 minggu itu cuba mengkhatam 4 kitab, yang diadakan selepas setiap waktu solat. Kitab-kitab tersebut adalah Wishahul Afrah, Faridatul Faraid, Hadis 40 dan Hidayatus Salikin yang disampaikan oleh 4 orang ustaz. Saya cuba menghadiri keseluruhan kuliah tapi gagal kerana kelemahan diri atau komitmen yang lain. Sungguh banyak ilmu yang saya dapati, bersyukur kepada Allah kerana telah memberi hidayah dan kekuatan untuk menghadirinya.
Hadis ke 18 dalam kitab Hadis 40 yang maksudnya: Barang siapa yang memelihara Allah nescaya Allah akan memeliharanya. Secara mudahnya jika kita mahu Allah menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita di dunia dan akhirat, perlulah kita mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Janganlah kita memohon apa saja hajat kita selain daripada Allah swt, seperti berserah diri kepada manusia biasa ( bomoh, dukun, doktor, yang berhormat dll).
Walaupun kebanyakan bahan yang dikuliahkan itu adalah perkara ‘basic’ kepada setengah-tengah orang, tapi bagi saya ia merupakan satu revision @ refreshment  kepada ilmu yang telah dipelajari ketika zaman sekolah dulu. Banyak perkara yang kita anggap ringan ketika muda dulu, bertukar menjadi satu perkara  yang besar pada usia 50an ini, hasil dari kematangan dan pengalaman diri. Kematangan pada usia 25 tahun tidak sama dengan kematangan pada usia 50. Terdapat juga bahan-bahan yang dikuliahkan itu tidak pernah saya ketahui atau dengar kerana kejahilan atau tidak berkesempatan. Tak salah lagi kata-kata yang menyatakan ‘tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke liang lahad’, ini kerana ilmu Allah itu terlalu luas. Tapi kita sebagai manusia biasa hanya wajib mempelajari ilmu fardu ain, sekiranya ada kesempatan pelajarailah ilmu fardu kifayah. Wallahualam.
1 Comment more...

Kiblat yang satu.

by jalilz on Nov.29, 2009, under Uncategorized

Rani_Mango_Juice

 

Allah akhbar, Allah akhbar, Allah akhbar,….permulaan khutbah solat aidil adha. Sekali lagi Allah memanjangkan usia saya serta keluarga untuk bersama-sama merayakan Aidil Adha di perantauan (kampung halaman jauh di selatan). Kali ini kami sekeluarga berkesempatan untuk menunaikan solat aidil adha disebuah masjid yang unik dan penuh nostalgia. Unik kerana separuh jemaahnya adalah ‘foreigner’ iaitu kebanyaknya students dari negara-negara arab, dan nostalgianya pula ia adalah tempat saya mendapat ijazah B Edu saya lama dulu. Masjid tersebut adalah masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia, Penang. Suasana pagi itu sungguh syahdu, mengingatkan saya ketika mengerjakan haji dan ziarah ke Mesir dulu. Sebaik saja selesai solat kami berkesempatan membeli beberapa makanan arab seperti kebab dan minuman dari arab.
Apa yang penting, walau dimana kita berada, dibumi Malaysia atau Arab , yang pasti setiap muslim itu akan tunduk dan sujud ke arah kiblat yang satu dan Tuhan yang satu….Allah swt. Setiap insan yang beriman sudah pasti mengambil kesempatan masa yang ada untuk sujud kepada Allah sebagai tanda ketakwaan dan memohon keredhaannya agar dimasukkan kedalam golongan yang beruntung dihari akhirat nanti.
Kepada anakanda dan kawan-kawan beliau yang berada di perantauan, timbalah sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu, agar ia dapat menjadikan  kita seorang yang lebih mengenali Tuhannya. Selamat hari raya aidil adha.
1 Comment more...

Kemana perginya pelajar lelaki.

by jalilz on Nov.26, 2009, under Uncategorized

4sains

 

Cuti akhir tahun sudah bermula, namun bagi sebahagian guru kerja mengajar masih diteruskan. Kelas tambahan diadakan samada untuk menghabiskan sukatan yang masih belum selesai, atau untuk memantapkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang sukar. Bagi kelas peperiksaan pada tahun akan datang seperti tingkatan 5 dan 3, ada guru yang menyediakan pelajar dengan lebih awal agar sukatan dapat dihabiskan dengan lebih awal. Ini akan membolehkan ulangkaji dapat dijalankan dengan lebih awal lagi.
Saya juga turut mengadakan kelas tambahan pada minggu pertama cuti. Kecewa dan geram, itulah perasaan saya ketika itu. Tidak seorang pun pelajar lelaki yang hadir, hanya pelajar perempuan yang setia bersama saya. Begitulah keadaanya sepanjang minggu. Timbul dibenak saya mengapa ini berlaku. Adakah kerana pelajar tersebut sudah cemerlang dan tidak perlu kelas tambahan, jauh…sekali. Adakah kerana mereka sibuk membantu keluarga mencari sesuap nasi…lagi jauh, tidak mungkin. Dengan takdir Allah,  saya terserempak kumpulan pelajar lelaki ini sedang sibuk bersembang disebuah kedai makan.
Bagi saya, mereka tidak langsung menghargai  pengorbanan yang guru lakukan terhadap mereka. Lebih malang lagi, mereka tidak langsung rasa bersalah dan malu terhadap guru dan rakan-rakan  mereka. Tidak hairan jika populasi pelajar perempuan lebih ramai di IPT berbanding pelajar lelaki.
Walaubagaimana bukan semua sekolah begitu, SMKA Al ‘Irshad mengadakan kelas tambahan pada hari sabtu dan ahad, kehadiran tetap baik, tidak kira pelajar lelaki atau perempuan. Pokoknya adalah kesedaran dan mentaliti pelajar itu sendiri. Kalau mentaliti masih pada takok lama, lebih mementingkan keseronokan, sampai bila pun tidak akan maju dan berjaya. Bagaimana remaja Islam ini mampu mempertahankan agama Islam, jika menghadiri kelas tambahan pun sudah kalah….daya tahan dan jati diri sudah tiada ……wallahualam.
20 Comments more...

Young ustaz vs senior ustaz.

by jalilz on Oct.28, 2009, under Uncategorized

SyeikhNuruddinal-Banjari1

Malam tadi saya berkesempatan untuk mendengar ceramah dari seorang tokoh ulama indon yang terkenal, iaitu SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI. Kali pertama saya berjumpa dengan beliau ketika saya berada di Mesir tempoh hari. Beliau sedang memberi siri kuliah kepada pelajar-pelajar Malaysia dan Indon di Mesir.
Pada malam tersebut beliau menyentuh tentang isu atau konflik diantara  ustaz @ daie yang tradisional dengan yang muda. Beliau mengambil jalan tengah, kita bebas mengikut sesiapa saja asalkan ia perkara khilaf, tapi berpegang kepada prinsip islamiah jika ia berkaitan tentang aqidah. Contohnya isu bacaan tahlil, membaca doa selepas solat, berdoa denga suara nyaring atau perlahan, yasin pada malam jumaat, zikir selepas solat dan lain-lain. Perkara ini semua mempunyai kaedah dan alasannya tersendiri, tapi ia bukan bidaah. Ia mengajak muslimin untuk membuat sesuatu yang baik, bukan kepada kemaksiatan. Adalah lebih baik berzikir daripada bersembang kosong selepas solat, adalah lebih baik untuk membaca yasin daripada makan kenduri saja dan lain-lain. Hanya pastikan amalan itu tidak melanggari syariat, atau untuk menunjuk-nunjuk atau alasan yang bukan kerana Allah SWT.
Masa 2 jam yang diberi terlalu singkat rasanya. Ini kerana isu yang dikupas adalah menarik dan diberi analogi yang cukup jelas. Maka jangan lah kita mudah memberi fatwa bidaah jika kita tak tahu @ kurang ilmu tentang sesuatu perkara itu, wallahualam.
Leave a Comment more...

Fly dengan tajaan FAMA

by jalilz on Oct.04, 2009, under Uncategorized

malay-student-in-mansoura

Minggu lepas ( selepas hari raya ) saya berkesempatan untuk menghantar seorang pelajar ke KLIA untuk balik ke Cairo bagi meneruskan pengajian beliau bagi tahun 3 di sana. Sebaik saja sampai di KLIA saya melihat ramai remaja lepasan sekolah sedang sibuk menguruskan bagasi masing-masing untuk check in sebelum berlepas. Meriah sungguh suasana yang ada. Ibubapa dan waris yang menghantar bersama begitu excited dan anxious …lebih dari anak-anak yang akan bertolak. Ada yang akan ke Mesir, UK dan Jepun. Apa yang paling membanggakan saya adalah kesemuanya adalah anak-anak Melayu yang beragama Islam. Pemandangan seperti ini saya rasa sukar untuk kita lihat 10 atau 20 tahun yang lalu.
Saya berkesempatan untuk bertanya dengan salah seorang waris yang menghantar anaknya ke Cairo. Anaknya akan mengikuti pengajian Perubatan di University Mansoura Mesir. “Pergi dengan tajaan siapa…JPA atau MARA…”saya bertanya. “Tak, anak saya fly dengan tajaan FAMA” kata beliau. Saya kehairanan.  “Maksud saya, anak saya pergi dengan biayaan sendiri, duit dari father dan mother….”. Saya faham sekarang, tajaan FAMA = duit mak bapak. Hebat sungguh, kini sudah ramai keluarga Melayu yang sudah sanggup berkorban dan mampu untuk mengantar anak-anak mereka belajar di oversea. Mereka tidak lagi menunggu pertolongan @ biasiswa kerajaan. Paling menarik mereka menghantar anak-anak mereka ke Mesir untuk mengambil jurusan perubatan bukan saja kerana yurannya agak murah ???( lebih kurang RM70 000 ) tapi juga mengharapkan anak-anak mereka mendapat sedikit ilmu agama dan bahasa arab. Sekurang-kurangnya roh islami ada dalam jiwa pelajar ini. Ok, tahniah kepada pelajar dan ibubapa mereka semoga pengorbanan ini mendapat keredhaan Allah SWT.
1 Comment more...

Gagal atau lulus ujian akademi Ramadhan.

by jalilz on Sep.25, 2009, under Uncategorized

solat

Alhamdulilah, Allah telah memanjangkan umur saya untuk sekali lagi dapat berhari raya pada tahun ini (2009), di kampung halaman.  Kali ini terasa sedikit perbezaan, kerana kesemua ahli keluarga dapat bersama meraikan hari yang mulia ini. Apa yang saya harapkan adalah segala perkara yang telah ditarbiahkan dalam bulan Ramadhan yang lalu dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi. Saya berkesempatan untuk menunaikan solat sunat aidil fitri disebuah masjid di Kg. X. Alhamdulilah jemaah begitu ramai yang datang sehingga terpaksa solat di atas jalan raya. Yang muda, bujang, tua, uzur, anak dara, wanita, nenek……semua hadir. Masing-masing memakai pakaian yang baru, cantik dan bersih, mengikut kemampuan. Selepas solat kesemua jemaah saling bersalaman dan bermaafan, memohon keampunan di atas segala kesalahan yang lalu. Indah sungguh dan syahdu, segala tuntutan syariat cuba dituruti. Semangat kunjung-mengunjungi masih lagi utuh di kampong, malah amalan takbir raya dari rumah ke rumah pada malam raya masih lagi diteruskan.
Keesokan harinya kami berkesempatan untuk solat subuh di masjid yang sama. Tapi, kali ini keadaannya agar berbeza. Tiada lagi jemaah yang hadir seperti solat aidil fitri yang lalu. Yang ada cuma beberapa kerat manusia yang sudah lanjut usia mereka. Mana perginya jemaah yang lain? Adakah mereka keletihan, terlewat, terlupa atau….tidak mungkin. Saya mengharapkan semangat yang ditunjukkan ketika bulan Ramadhan yang lalu dapat diteruskan pada bulan syawal ini. Jika kita gagal meneruskan semangat itu, seolah-olah kita gagal melepasi ujian dan latihan tersebut.
‘Open House’ sudah menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu yang menyambut hari raya. Yang berkemampuan, teruskanlah amalan ini kerana ia dapat mengeratkan tali siratul rahim sesama muslim. Tapi jangan lupa memangil sama jiran-jiran yang ada sekeliling kita walaupun mereka tidak ‘sekelompok’ dengan kita. Majlis ini pula jangan lah ia dicemari dengan aktiviti pergaulan bebas, tidak menutup aurat…malah ada yang mengadakan pesta karoake sampai ke larut malam. Kalau boleh biarlah ia mengikut syariat Islam.
Kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin di atas segala kesalahan yang saya lakukan samada secara sedar atau tidak sedar. Terima kasih dia atas segala komen yang telah di beri.
1 Comment more...

Adakah kita sudah merdeka?

by jalilz on Aug.31, 2009, under Uncategorized

remaja merdeka

31 Ogos 2009, merupakan hari kemerdekaan Malaysia ke 52. Persoalannya adakah kita benar-benar sudah merdeka. Mari kita sama-sama menjawap persoalan berikut.
  1. Bagaimana dengan akidah kita, sudahkah ia benar-benar bebas dari fahaman-fahaman yang tidak berpegang kepada Allah yang satu. Masihkah kita takut kepada manusia lebih dari Allah, masihkah kita menyanjung manusia lebih dari Allah dan Rasulnya.
  2. Bagaimana dengan ibadah kita, masihkah kita berkira-kira dengan ibadah kita. Sudahkah kita melaksanakan segala suruhan Nya dan menjauhkan larangan Nya. Adakah kita masih terikat dengan kepentingan duniawi, masih tidak bebas dengan bisikan syaitan.
  3. Masihkah kita mempunyai pemikiran sekular, memisahkan antara agama dan kehidupan harian. Dalam perkara nikah kahwin, berkhatan, makanan dll kita berpegang kepada Islam (itu pun lebih kepada ritual adat saja), tapi dari aspek pergaulan, pakaian, muamalat, dll kita ikut barat. Masih tak bebas dari segi pemikiran.
  4. Masihkah kita mempunyai atau mengamalkan akhlak ikut-ikutan, meniru cara-cara penampilan, percakapan dll, kita masih tak bebas.
Sempena kemerdekaan ke 52, marilah kita membebaskan diri dan pemikiran kita dari terikat dengan pengaruh dan budaya bukan Islam.
3 Comments more...

Pelik tapi benar.

by jalilz on Aug.28, 2009, under Uncategorized

w_pmr__

Ramadhan datang lagi. Alhamdulilah, Allah memanjangkan lagi umur saya dan keluarga untuk bertemu kembali dengan Ramadhan. Berapai ramai manusia yang tidak berkesempatan untuk menemui Ramadhan tahun ini, termasuk Utz Aseri Rabanni. Semua orang tahu atau buat-buat tak tahu akan kelebihan yang Allah beri sepanjang bulan ini, penuh dengan kerahmatan dan pengampunan. Tapi masih ada manusia yang kurang yakin, kurang cerdik, kurang daya usaha untuk mengharungi cabaran Ramadhan ini dengan jayanya. Bak kata Utz Zawawi ( imam Masjid At Taqwa, Tmn Bertam Indah) Ramadhan ini adalah madrasah untuk melatih kita agar lebih bertakwa berbanding tahun lepas. Adakah kita mampu untuk skor 4.0 (flat) atau kurang, bila tamat latihan nanti. Prestasi 4.0 harus di dibawa dan ditonjolkan setelah masuk syawal dan seterusnya. Jika tiada perubahan, prestasi masih macam tahun lepas, bermakna kita tak dapat 4.0 pada latihan yang dilalui.
“Mat, hari ini puasa tak ?” tanya cikgu Siti kepada Mat. “ Ehhh, puasa cikgu, saya tak tinggal puasa satu hari pun cikgu” balas Mat dengan bangganya. “ Awak solat subuh tak pagi tadi? Aishhhh, Tak cikgu, bangun lambat ” balas Mat. Pelik tapi benar, bagaimana ramai orang sanggup menahan makan dan minum, ( kalau makan sekalipun, orang tak tahu ), tapi sayang tidak mengerjakan solat. Ini cerdik ke atau tak cerdik.
Masih ramai wanita yang sanggup berbogel ( tak menutup aurat ) tapi berpuasa, sibuk membeli juadah berbuka puasa. Saya kerap kali melihat selepas saja berbuka puasa, ramai remaja lelaki dan perempuan memenuhi cyber café sehingga ke subuh. Mana solat wajib mereka, apa tah lagi yang sunat-sunat. Tahniah kepada AJK Masjid At Taqwa, Tmn Bertam Indah, kerana kerap mengingatkan para pengujung  pasar Ramadhan dan peniaga( depan masjid) agar berhenti urusan jual beli dan bersolat asar di masjid. Saya mengharapkan artikel pendek ini dapat mengingatkan saya yang lemah ini, wallahualam.
Leave a Comment more...

Looking for something?

Use the form below to search the site:

Still not finding what you're looking for? Drop a comment on a post or contact us so we can take care of it!